Rasional Komuniti kanser ialah populasi yang sentiasa bertambah. Pendaftaran Kanser Negara Malaysia (Lim dan Halimah, 2004) melaporkan bahawa 21,464 kes kanser telah didiagnosis di Semenanjung Malaysia pada tahun 2003. Jumlah tersebut terdiri daripada 56% perempuan dan 44% lelaki. Kira-kira 9% daripada kejadian kanser melibatkan kanak-kanak yang berusia antara 0-14 tahun. Kejadian kanser yang dilaporkan di Sabah dan Sarawak masing-masing ialah 926 dan 1356 kes. Dengan mengandaikan kes kanser kekal dalam julat ini setiap tahun, jumlah kumulatif kes kanser dan bekas pesakit akan terus meningkat. Keperluan maklumat dan sokongan berkaitan dengan penyakit tersebut juga akan terus meningkat dan diperlukan oleh individu yang masih hidup dan berhadapan dengan penyakit kanser.
Kanser memberi kesan yang signifikan terhadap pesakit, keluarga, sahabat, rakan sekerja, penjaga dan masyarakat secara am. Individu yang berhadapan dengan kanser sering kali menghadapi pelbagai cabaran dari segi fizikal, psikologi, emosi, sosial, rohani, dan ekonomi, serta kerisauan yang berterusan tentang berulangnya penyakit, kesihatan, dan sebagainya. Mereka harus menangani cabaran dan kerisauan mulai saat mereka didiagnosis, semasa rawatan dan sepanjang hayat mereka. Mereka memerlukan sokongan dan sumber daya untuk terus hidup dengan kanser.
Pada masa ini banyak kajian telah melaporkan perlunya maklumat yang jitu, relevan dan komprehensif untuk individu yang menghidapi kanser bagi membantu mereka membuat keputusan yang berasas tentang rawatan dan perkara lain yang berkaitan. Trend juga menunjukkan bahawa orang ramai kini lebih bertanggungjawab dan lebih berminat tentang kesihatan mereka. Maklumat membolehkan mereka memahami bagaimana mereka dapat mengekalkan cara hidup yang sihat, menangani penyakit, dan mencapai kualiti hidup semasa sakit dan seterusnya. Keperluan ini dapat dipenuhi melalui komunikasi yang sesuai dan inisiatif pendidikan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan capaian tentang isu-isu yang berkaitan. KanPortal ialah salah satu tapak capaian untuk berkomunikasi, mendidik dan menyokong individu yang berhadapan dengan kanser.
KanPortal KanPortal ialah salah satu inisiatif yang disediakan oleh CaRE dengan kerjasama KAEM dan KanWork. Kami terdiri daripada sekumpulan rakyat Malaysia yang berdedikasi mencari dan mendapatkan maklumat, pengetahuan dan sumber-sumber tentang kanser; menguruskan maklumat dan sumber-sumber ini; dan mengadaptasikannya untuk kegunaan, sesuai dengan konteks rakyat Malaysia. Portal ini bertujuan untuk membekalkan maklumat, pendidikan dan sumber sokongan kanser yang sesuai untuk pengguna di rantau ini.
KanPortal disusun dari segi konsep dan operasi untuk membekalkan maklumat dalam talian:
berkaitan dengan jenis kanser khusus, rawatan dan pengurusan, serta sokongan
tentang perkhidmatan untuk individu yang berhadapan dengan kanser
untuk mendidik masyarakat cara-cara untuk mencegah kanser, dan pengesanan awal
Kesan
KanPortal ialah pusat yang mantap untuk Pengurusan Pengetahuan Kanser, yang akan membina jaringan secara dalam talian dengan pusat sumber tempatan dan akhirnya membentuk rangkaian serantau dan transnasional untuk mencapai individu yang berhadapan dengan kanser.
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0, Mozilla Firefox versi 3.0, Google Chrome versi 9.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768 (Sila klik disini utuk pelayar Internet Explorer yang baru)
Powered by Webway E Services Sdn Bhd and Kamaruzzaman & Associates (E-Media) Sdn Bhd